Tajuk kali ni berkenaan dengan Kuda Kepang Mabuk..
sebenarnya, tajuk entri ni merupakan tugasan aku masa semester 4/5 di UPSI..
saje je nak kongsi2 dgn korang...
daripada korang baca ntah2 ape2 .. bek aku kongsi sedikit ilmu kebudayaan yang terdapat di negeri aku ni...
iaitu JOHOR...
jom kite kenal sikit tentang kuda kepang ni...
Permainan kuda kepang merupakan salah satu permainan rakyat di negara ini. Jika di negeri Pantai Timur Semenanjung terkenal dengan permainan wau dan wayang kulit, kuda kepang pula mendapat tempat di hati rakyat Johor. Kehalusan seninya begitu terpelihara walaupun arus kemodenan begitu ketara dalam beberapa aspek kebudayaan. Kuda kepang adalah satu permainan berkumpulan yang menari dengan kuda (anyaman kuda) salah satu cabang kesenian orang-orang Jawa. Kebanyakan kumpulan kesenian ini terdapat di negeri Johor dan menjadi lambang identiti negeri itu.
SEJARAH KUDA KEPANG
Menurut Arwahyarham Wak Alal bin Keromo, asal-usulnya permainan kuda kepang kepang ini berasal dari negeri Acheh, Indonesia. Ketika itu rakyat negeri Acheh yang ramai suku bangsanya tidak mempunyai raja. Maka salah seorang rakyat telah dicalonkan untuk menjadi Raja Negeri itu dengan meminta syarat sebelum dicalonkan menjadi raja. Syaratnya, meminta barang-barang yang pelik dan ganjil. Maka, rakyat Acheh yang berbilang keturunan telah mendapat ilham untuk membuat kuda daripada buluh yang dianyam ( dikepang ) dan menyerupai wajah kuda serta membuat alatan bunyi-bunyian yang diperbuat daripada buluh juga seperti angklung. Setelah kuda kepang dan peralatan bunyi-bunyian disiapkan, maka kumpulan raja Acheh mengiringi calon raja mengelilingi kampung dan pekan untuk upacara pertabalan raja Acheh yang pertama.
aku bersama Arwah Wak Ala masa temuramah tentang permainan kuda kepang ni |
Begitulah bermulanya legenda tarian kuda kepang sehinggalah tarian kuda kepang terkenal di Kepulauan Indonesia. Setelah kedatangan orang Jawa ke Tanah Melayu, salah seorang pengawal kesenian Jawa ( kuda Kepang ) ialah Wak Samion bin Tamsir, orang yang membuka perkampungan baru dan juga Surau Kampung Parit Samion, Parit Raja, Batu Pahat, Johor pada tahun 1959.
Bermula dari tarikh tersebut kumpulan kuda kepang semakin diminati oleh penduduk setempat. Kuda kepang yang asalnya daripada anyaman buluh itu kemudian ditukarkan kepada kulit lembu yang dikeringkan kerana kulit lembu yang dikeringkan tidak mudah rosak dan mudah diselanggarakan. Namun, disebabkan kini agak sukar dan kos untuk mendapatkan kulit lembu itu tinggi, maka kuda kepang kini diperbuat daripada zink kerana lebih tahan lama dan tahan lasak untuk digunakan oleh pemain kuda kepang mabuk ini.
Nama kuda kepang yang diperbuat daripada buluh itu, dipanggil “Pring di Kepang” dalam bahasa Jawa, yang bererti buluh dianyam menyerupai kuda. Tidak lama kemudian Wak Samion menyerahkan kumpulan itu kepada Wak Baharudin bin Abd Salam. Pada tahun 1977, Wak Baharudin menyerahkan kumpulan Kuda Kepang kepada pembantunya, Wak Alal bin Keromo sehinggalah ke hari ini masih dipimpin oleh Wak Alal dan diberi nama Kumpulan Kuda Kepang Sri Jaya.
Sejak persatuan kuda kepang ini ditubuhkan pada tahun 1959, kumpulan ini telah menerima undangan sebanyak lebih 10 ribu (4,560 - pada Februari,1999) ke majlis perkahwinan, majlis kerajaan dan majlis kesenian. Pada masa ini, Kumpulan Kuda Kepang Sri Jaya mempunyai 40 orang ahli yang terdiri daripada penduduk kampung.
CARA PERMAINAN DAN ALATAN BUNYIAN
Sebelum memulakan permainan, padang atau gelanggang permainan tersebut perlulah dipagar dengan mantera oleh ketua untuk masuk gelanggang atau buka gelanggang. Saiz atau luas gelanggang itu tidak menjadi masalah kepada pemain, kerana sempit atau luas kawasan gelanggang mereka masih dapat membuat persembahan. Kumpulan Kuda Kepang Sri Jaya ini diketuai oleh saudara Mohd Hafizuddin bin Hamzah,25 dan bertanggungjawab membuka gelanggang permainan dalam setiap permainan atau persembahan yang bakal dimainkan. Ketua pemain menarik pecut (seakan-akan mengheret) di atas tanah dan membentuk bulatan sebagai simbol gelanggang permainan telah dibuka. Dengan adanya gelanggang yang telah dibuka, pemain-pemain kuda kepang yang telah mabuk atau kerasukan tidak dapat melepasi garisan gelanggang yang telah dibuat dan penonton yang menonton di luar gelanggang tidak akan dikacau oleh pemain yang telah mabuk.
upacara dimulakan |
Sebelum memulakan permainan, ketua kumpulan perlu membakar kemenyan dan dibaca mantera untuk memanggil dayang-dayang. Di tempat permainan itu, dimainkan bunyi-bunyian daripada angklung, gendang, gong, bedok dan kenong.
kenong |
Angklung diperbuat daripada buluh dan rotan yang boleh didapati daripada kawasan persekitaran. Angklung bersaiz segiempat dan ianya dimainkan dengan cara menggoyang dan menggoncang buluh tersebut. Bagi buluh yang kecil, apabila diketuk akan mengeluarkan bunyi nyaring, manakala buluh yang besar akan mengeluarkan bunyi bergema dan daripada kombinasi kedua-dua bunyi ini akan menghasilkan bunyi yang indah dan menarik.
angklung |
Perkakas lain yang digunakan ialah sebuah gendang. Gendang ini diperbuat daripada kayu Leban dan kulitnya daripada kulit lembu. Kulit lembu diperoleh daripada saki baki kulit lembu yang dikorbankan semasa Hari Raya Haji seterusnya dikeringkan. Sementara pengikatnya diperbuat daripada rotan. Gendang yang digunakan biasanya mempunyai panjang diameter lebih kurang 3 kaki dan gendang ini dipalu mengikut irama yang tertentu.
gendang |
Perkakas lain yang digunakan ialah pecut. Pecut diperbuat daripada buluh dan tali. Kedua-duanya dipintal menjadi satu. Fungsi pecut adalah untuk mengarah dan mengawal permainan atau penari kuda kepang yang mabuk.
tali pecut |
Perkakas terpenting ialah kuda kepang. Ianya diperbuat daripada kulit lembu. Dibentuk menyerupai kuda dan diwarnakan merah,putih atau kelabu.
kuda kepang |
Alat-alat lain ialah gong. Gong apabila dipalu akan mengeluarkan bunyi "goooong" dan meyedapkan lagi bunyi muzik pengiring.
Gong yang dibawa dari Acheh |
Pantang larang dalam permainan kuda kepang ialah pemain tidak boleh diacah semasa dalam permainan atau ketika sedang mabuk kerana ditakuti akan melarat dan menjadikan keadaan tidak terkawal.
Anggota kumpulan permainan kuda kepang ini terdiri daripada lapan orang pemain/penari kuda kepang, seorang pemandu (ketua kumpulan pemain) dengan menggunakan tali pecut, 3 orang pemain angklung, seorang pemukul gong dan seorang pemain gendang. Pakaian permain pula biasanya seragam.
pemain2 kuda kepang |
Setelah permainan dimulakan di antara satu hingga dua jam (tidak dapat dipastikan) tiga atau lima orang penari kuda kepang akan mabuk atau kerasukan. Semasa penari dalam keadaan demikian, bunyi-bunyian yang mengiringi tarian ini akan bertambah rancak. Kononnya jika alunan muzik tidak rancak maka penari akan naik berang dan akan menerkam atau menendang pemain muzik. Kelakuan ini tidak ubah seperti kuda yang sedang berang.
ni masa dah mabuk, mmg tak sedar ape2 |
Menurut keterangan pemain yang mengalami kejadian seperti ini,ketika mabuk mereka bermimpi menunggang kuda sambil menari-nari dengan iringan muzik. Semakin lama bunyian itu sayup kedengaran. Kerana itulah mereka cuba mengejar muzik itu. Jelaslah tarian Kuda Kepang mempunyai semangat yang menjadi asas kepercayaan dan peminat mereka. Selain itu alat-alat kuda kepang mesti disimpan dengan baik kerana ditakuti akan dimarahi oleh 'rohnya'. Ini menunjukkan bahawa permainan kuda kepang mempunyai kepercayaan tersendiri.
Kombinasi letupan cemeti dan pola ritma gendang dianggap mempunyai kekuatan magis yamg dapat mendorong para penari kuda kepang kesurupan atau kerasukan atau lebih dikenali oleh masyarakat Jawa sebagai 'naik isim'. Penari yang kesurupan kerap kali menunjukkan kekuatan fizikal yang menakjubkan dan mampu melakukan perbuatan yang luar biasa seperti memakan bunga (bunga kenanga), mengupas kelapa dengan mulut, berlari liar, memamah kaca, memanjat pohon dan sebagainya.
Semasa menari di gelanggang, penari-penari yang mabuk akan diberi makan bunga kenangga dan adakalanya ketua akan memberi sebiji kelapa muda yang masih ada serat kulitnya (sabut). Pemain yang mabuk akan mengupas kelapa tersebut dengan mengunakan giginya dan memecahkan kelapa tersebut dengan tangan atau kepala lalu meminum airnya.
Sering berlaku apabila ada penonton yang terlampau asyik mendengar irama bunyian dan mengkhayalkan akan menjadi mabuk dan masuk menari di dalam gelanggang permainan.
PANTANG LARANG
Pantang larang orang yang mabuk di gelanggang ialah apabila ada penonton yang bersiul memanggil mereka, lantas orang yang bersiul tadi akan dikejar oleh pemain yang mabuk tersebut dan sekiranya terjumpa penonton tersebut akan ditendang,diterajang atau dilibas-libas dengan kudanya.
Setelah tiga jam atau lebih, pemain yang mabuk akan ditangkap oleh ketua untuk diubatkan agar yang mabuk sedar (pulih seperti sedia biasa). Pecut juga akan dibunyikan untuk memeranjatkan pemain/penari yang mabuk agar mudah untuk mengawal pemain/penari yang mabuk. Situasi pemain atau penari yang mabuk biasanya dalam keadaan yangtida sedar, mulutnya tidak boleh bercakap( seperti orang bisu) dan tangannya memegang erat kuda kepang dan kakinya tidak berhenti menari mengikut irama gendang kerana irama gendang kuda kepang sangat mengasyikkan.
upacara tutup gelanggang |
Setelah pemain/penari yang mabuk dipulihkan,kuda kepang akan disusun seakan membuat jalan bagi menghantar dayang-dayang pulang. Ketua akan membaca mantera dan membunyikan tali pecut empat kali satu penjuru (16 pecut untuk empat penjuru), barulah permainan ditamatkan dan bunyian dihentikan. Kebiasaannya, setiap persembahan akan dibayar antara RM500 hingga RM3,000 bergantung pada masa serta tempat persembahan.
aku dan kawan2 |
untuk kepuasan anda.. saksikan video yang aku dan kawan2 rakam ..
0 coretan ikhlas:
Post a Comment