Saya peminat novel-novel yang ditulis oleh Ramlee Awang Murshid. Saya tak ingat sejak bila saya mula membaca novel-novel tulisannya. Serasa saya tahun 2001 mungkin. Novel pertama yang saya beli ialah Mandatori, diikuti dengan Rangau, Tombiruo dan akhirnya tersampuk dengan semua siri novel tulisannya.Novel-novelnya sarat dengan kisah percintaan (yang tidak meloyakan), aksi, kekeluargaan, nasihat, agama, kehidupan dan yang penting..THRILLER.
***********************************************************************************
sedikit biodata RAM
Ramlee Awang Murshid (lahir 4 November 1967) ialah seorang novelis dan juga penulis Malaysia untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) sejak 1986. RAMLEE Awang Murshid dilahirkan di Papar, Sabah, pada 4 November 1967 dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bertugas sebagai wartawan penyiaran di RTM Angkasapuri Kuala Lumpur.
Dalam dunia penulisan, Ramlee terkenal sebagai novelis thriller dan sudah empat kali memenangi sayembara penulisan yang antaranya melalui kejayaan novel Pei Pan yang diiktiraf pemenang kedua Hadiah Sako bagi Novel Nasional 2002.
Pelajar Terbaik Komunikasi Massa 2000 UKM ini menyifatkan kejayaan Pei Pan meninggalkan kenangan paling manis kepada Ramlee kerana beliau penulis pertama dari Sabah yang meraih kemenangan bagi hadiah terbabit.
Beliau yang menerima Watikah Penghargaan Khas daripada UKM pada 2001 dan Pelajar Terbaik Keseluruhan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi (2002) sudah menghasilkan 13 novel dan antaranya ialah Tombiruo, Ranggau, Mandatori, Satu Janji, A.D.A.M, Semangat Hutan dan Rahsia Perindu.
Novel terbarunya, Bagaikan Puteri, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Sastera Negeri Sabah dan sambutan daripada peminat menyebabkan dia teruja menyambung novel terbabit sehingga lahir trilogi Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta.
Dilahirkan di daerah Papar, Sabah, genre novel beliau pada umumnya berbentuk “thriller” dan seram.
**********************************************************************************
Sinopsis : MANDATORI
Bermula dengan hukuman di tali gantung yang dikenakan ke atas seorang pemandu, Carlos menyimpan dendam menuntut keadilan. Seorang demi seorang yang menzalimi akan terpaku di mahkamah keadilan yang dicipta oleh Carlos sendiri. Dialah pendakwa raya dan dia jugalah hakim. Bagi Carlos, peguambela sudah tidak perlu lagi kerana pendakwaan membawa erti kesalahan telah terbukti. Sesiapa yang diadilinya pasti akan menerima hukuman dengan sekali perbicaraan. Dan hukuman yang pasti ialah hukuman mati mandatori!
Sinopsis : RANGGAU
Satu pembunuhan bersiri gadis-gadis sedang berlaku di Sabah. Mayat-mayat yang ditemui oleh polis didapati telah hilang mata dan buah pinggang. Ursula Gimbang, anak seorang tokoh korporat begitu risau adiknya, Janet yang tiba-tiba hilang menerima nasib yang sama. Apakah ia perbuatan manusia atau makhluk halus yang dikenali sebagai Ranggau? Oleh kerana Tuan Gimbang seorang tokoh yang terkenal, dia tidak mahu perkara itu dilaporkan kepada pihak polis. Sebaliknya dia menyarankan agar Ursula mengupah penyiasat persendirian. Dan, Ursula menemui Rusdi Salleh, seorang penulis novel misteri kerana merasakan bahawa penulis itu mempunyai kebolehan menyiasat.
Sinopsis : TOMBIRUO
Tiga kali surat wasiat itu dipinda. Empat nama telah disenaraikan. Nama kelima telah disingkirkan. Dua belas pembunuhan kemudian telah dilakukan. Lelaki sadis itu sanggup membunuh kerana nafsu, wang, kuasa dan dendam! Dan setelah 30 tahun, mereka dipertemukan untuk mengatur semula episod hidup yang penuh ngeri.
Sinopsis : SEMANGAT HUTAN
Bila Amiruddin terdengar berita mengenai sebuah jet peribadi terhempas di hutan Keningau, memorinya segera terbayangkan Wan Suraya kekasihnya. Benar… gadis itu adalah di antara mangsa yang terlibat. Dengan seorang rakan, Amiruddin bergegas ke tempat tragedi. Saudaranya yang tinggal di hutan juga dihubungi secara psikik untuk turut membantu. Dalam pada itu, sejenis makhluk aneh berkeliaran di hutan tersebut. Rogon amat digeruni oleh penduduk di pedalaman. Raungannya sahaja boleh mengecutkan perut. Bila ia menerjah, mangsa hanya mampu pasrah menanti ajal. Rogon juga tercium bau manusia di hutan sekitar tempat terhempasnya jet itu. Di antara Amiruddin dan Rogon, siapakah yang terlebih dahulu menemui Wan Suraya?
Sinopsis : TOMBIRUO TERAKHIR
KETERAMPILAN dan imej baru Ejim menggugah hati Wan Suraya, sekali gus mencetus rasa cemburu Dr. Haslia. Ejim yang kini dikenali sebagai Amaruddin, saling tidak tumpah menyerupai kembarnya Amiruddin yang telah meninggal dunia. Munculnya Ejim di Kuala Lumpur menyebabkan Wan Suraya melihat ‘Amiruddin’ dalam diri lelaki Tombiruo itu. Wan Suraya yang telah bertunang dengan Tan Sri Nasir tiba-tiba menunda tarikh perkahwinan mereka. Apabila perkara sebenar terbongkar, Tan Sri Nasir yang merupakan penaja utama pembedahan wajah Ejim mula memusuhi lelaki Tombiruo itu. Dia tidak mahu kehadiran Ejim mengganggu gugat cinta sucinya terhadap Wan Suraya. Kehidupan di Kuala Lumpur rupa-rupanya tidak menjanjikan kebahagiaan. Ejim hidup dengan penghinaan, dugaan dan cabaran. Hasrat hatinya ingin kembali ke Hutan Keningau ditentang Dr. Haslia. Bagaimanapun, hasrat hatinya itu terlaksana jua setelah 10 tahun berlalu. Selama tempoh itu, Ejim telah pun berkahwin dan dianugerahkan seorang anak perempuan. Sekembalinya ke Hutan Keningau, dia mendapati Hutan Keningau bergolak lagi dengan kemunculan ‘Seorang Tombiruo’. Siapa isteri Ejim? Mampukah Ejim menjiwai semula semangat Hutan Keningau setelah 10 tahun berlalu? Tergamakkah Ejim meninggalkan anak dan isterinya demi menyahut seruan semangat Hutan Keningau? Dan siapakah ‘Tombiruo Terakhir’ yang mengaku sebagai raja rimba di daerah pedalaman itu? Tombiruo Terakhir… rasailah pergolakan perasaan yang sarat dengan cinta dan kasih sayang, saspens, debaran asmara dan pertelingkahan.
Sinopsis : SATU JANJI
Balas dendam, pencarian keluarga kandung, keadilan, kasih sebuah percintaan, air mata dan kesetiaan seorang lelaki yang bernama suami, adalah satu janji yang melingkari hidup Luqman. Tragedi pembunuhan ayah Luqman, telah membuka satu rahsia yang menjadi hijab jalur pengkhianatan. Pada ketika inilah Luqman menemui Adelia Mustapha. Kasih dan cinta Luqman, rupa-rupanya menjadi racun berbisa di hati Adelia. Janji yang begitu teguh di hati Luqman akhirnya membawa musibah. Dengan segala kudrat, Luqman berusaha bangkit untuk menggapai janjinya semula. Dan di hadapannya ada seseorang yang telah menghulurkan tangan untuk membantu Luqman melaksanakan satu janji yang pernah terungkai.
Sinopsis : ADAM (AKU DARAH ANAK MALAYSIA)
DIA MUNCUL SECARA TIBA-TIBA. DIA MENGHILANG ENTAH KE MANA…Bila Hilman dapat bertemu dengan anaknya Jeslina di New York setelah berbelas tahun terpisah, mereka berasa begitu bahagia. Namun, keriangan mereka diragut bila kereta yang mereka naiki terlibat dengan satu kemalangan jalan raya. Jeslina koma sementara Hilman pula dituduh memandu dalam keadaan mabuk. Dalam situasi genting itu, muncul Mia Sara, seorang petugas di Kedutaan Malaysia, Washington D.C. Melalui bantuannya, Hilman dinasihatkan ke mahkamah untuk mendapat keadilan. Namun, bila satu konspirasi untuk menutup kemalangan itu diketahui oleh Hilman, dia mengambil keputusan untuk mencari kebenaran dengan caranya. Sebagai seorang penembak tepat dalam pasukan Polis diRaja Malaysia, survival adalah mainan hidupnya. Siasatannya terhadap konspirasi kemalangan itu akhirnya membawa beliau ke pintu White House! Dan, Hilman tidak sekali-kali terpaku di hadapan pintu itu…
Sinopsis : HATIKU DI HARAJUKU
Ryu-Watanabe berasa tidak dirahmati; dilahirkan di penjara dan membesar di rumah kebajikan. Sepanjang hidupnya tidak pernah tenteram lalu membawa diri ke Jepun. Dia menyertai satu kumpulan yakuza dan menjadi samurai yang mahir bermain pedang. Jenaya adalah gelanggang permainannya dan penamat permainan itu adalah maut.Dalam kumpulan itu, dia jatuh cinta dengan Noriko. Kisah mereka dan kumpulan yakuza menjadi tarikan kepada Sabrina untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Dia bersama Murni melancong ke Tokyo untuk mencari Ryu-Watanabe. Adakah mereka dapat menemui Ryu-Watanabe? Siapa sebenarnya Ryu-Watanabe itu? Adakah dia menyesal menganggotai kumpulan yakuza dan menjadi samurai?
Sinopsis : RAHSIA PERINDU
Amylia bersetuju membela seorang penjenayah yang kemungkinan besar akan menghadapi hukuman mati mandatori kerana membunuh. Setelah meneliti mental anak guamannya, Amylia mendapati sesuatu yang tidak munasabah berlaku. Dia memohon perintah mahkamah untuk mendapatkan khidmat doktor psikiatri bagi melakukan psikoanalisis.
Dr. Azlan mendapati anak guaman Amylia; Leopard mengalami gangguan mental. Pada masa yang sama, usahanya membela Leopard mendapat rintangan. Amylia yang diburu ketakutan mengalami perubahan emosi. Namun begitu, dia tidak mudah mengalah walaupun nyawanya sentiasa diburu maut oleh pembunuh yang sentiasa mengintai pergerakannya. Perjuangan tetap diteruskan juga. Oleh kerana tidak tertahan menanggung pelbagai dugaan, suatu hari Amylia jatuh pengsan. Dan apabila dia sedar semula, segala-galanya telah berubah. RAHSIA PERINDU penuh debaran yang menggelisahkan pembacaan anda. Sentuhan luar biasa daripada `novelis thriller no. 1 Malaysia’ ini sarat dengan kisah cinta suami isteri yang meruntun perasaan. Saspens sehingga merasakan ada `orang lain’ sedang memerhatikan anda!
Sinopsis : UNGU KARMILA
ATAS nama cinta… mahligai impian itu dibina. Vila Sepi menjadi mahar kasih Arif terhadap isterinya, Karmila. Namun, tragedi dahsyat memusnahkan kegembiraan yang dikecapi.Beberapa tahun berlalu… vila yang ditinggalkan dikatakan berhantu. Jikon, seorang pemuda Orang Asli bagai digamit memasuki vila itu. Akhirnya, dia menjadi korban pertama. Setelah itu, mistik di vila itu tiba-tiba sepi. Masyarakat Orang Asli percaya ‘sesuatu’ yang berada di situ sedang ‘tidur’. Tiada siapa berani mengusik. Jika ia ‘terbangun’, maka pembunuhan pasti terjadi lagi. Ema, seorang wanita masyarakat Orang Asli yang berpendidikan, secara diam-diam berusaha meneroka vila yang menjadi lambang cinta Arif dan Karmila itu. Secara tidak sengaja, dia telah ‘membangunkan sesuatu’ di dalam vila berkenaan. Arafat, abang Arif telah menugaskan beberapa orang yang dipercayai untuk membongkar misteri pembunuhan itu. Namun, satu kuasa jahat telah memburu mereka sehingga mengancam nyawa. Tragedi silam berulang kembali! RAMLEE AWANG MURSHID, sekali lagi meneroka alam mistik di sebalik saspens UNGU KARMILA. Mereka yang `jahat’ sahaja dapat mengalami rahsia di sebalik kisah berdarah di Vila Sepi… hingga tidak sanggup lagi untuk berbuat dosa!
Sinopsis : BAGAIKAN PUTERI
Haryani dan Laksamana Sunan…
saling jatuh cinta. Pertemuan kedua insan ini dalam satu dimensi di luar batas jangkauan manusia, malah sukar diterima lojik akal. Mereka dari zaman yang berbeza. Haryani terperangkap dalam perkelahian antara kebaikan dan kebatilan manusia. Perjalanan yang panjang, penuh ranjau dan cabaran membuatkan Haryani dan Saifudin mendiamkan sahaja cinta yang terpendam. Dani… pertama kali melihat Haryani yang terlantar koma di hospital terus jatuh hati. Dia berusaha membawa Haryani kembali semula ke abad 21. Antara dua lelaki, Haryani terpaksa membuat pilihan. Antara dua nyawa dalam jasadnya; sama ada tinggal bersama Laksamana Sunan pada penghujung kurun ke 15 atau kembali semula ke abad 21. Tiada dua kehidupan dalam zaman yang berlainan. Salah satu kehidupan itu mesti mati!
Sinopsis : CINTA SANG RATU
Pastinya anda ingin mengetahui cerita seterusnya setelah membaca Bagaikan Puteri. Apa yang berlaku kepada Laksamana Sunan dan Haryani? Akhir kurun ke-15, Ratu Sulaman terus memerhatikan kerumunan orang ramai. Dia tertinjau-tinjau dan mengharapkan Laksamana Sunan segera bangkit. Seketika tadi dia berjaya melepaskan sebilah anak panah tepat ke belakang lelaki itu. Jantungnya kini bagai direntap kasar apabila melihat jasad Laksamana Sunan diusung beramai-ramai. Hatinya rawan teringatkan ucapan lelaki itu kepadanya.Awal abad ke-21, bersendirian di bilik tidur, Haryani meraih ingatannya kepada Dani. Lelaki yang telah menyelamatkan nyawanya itu kini hilang sewktu tsunami melanda Aceh. Harapan untuk Dani hidup amat tipis. Tidak mungkin Dani selamat dari badai ombak itu. hanya kata-kata Dani sahaja yang menjadi pengubat resahnya. Inilah kisah pertembungan dua zaman yang pastinya membuatkan anda sayang sekali untuk meninggalkan walaupun satu perkataan kerana ceritanya semakin PANAS!!!
Sinopsis : HIJAB SANG PENCINTA
RASA rindu terhadap keluarga menggamit hati Saifudin merentasi Tanah Sumatera untuk pulang ke Punggor, Tanah Melayu. Namun, kejahatan seolah-olah memburunya. Setiap langkahnya dibayangi halangan yang tak berkesudahan.Berita kepulangannya di Tanah Melayu sampai ke pengetahuan Sultan Melaka. Kemarahan baginda kerana tidak dapat mengahwini Haryani menyebabkan dia mula menjadi buruan orang istana. Saifudin lari ke gua. Di situlah bermulanya satu lagi keajaiban. Jasadnya berpindah merentasi hijab masa untuk sampai ke abad 21. Sekali lagi Saifudin bertemu dengan Haryani dan kisah cinta yang melangkaui masa mekar semula. Namun, kejahatan yang senantiasa mengiringi setiap injak kakinya masih mengekori. Kali ini tebakan musuh durjana mengakibatkan sengketa yang tercetus di langit berlaku lagi. HIJAB SANG PENCINTA - pelengkap trilogi Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu ini sarat dengan konflik hingga ke akhir. Lagenda minda, Saifudin atau Laksamana Sunan ciptaan Ramlee Awang Murshid sekali lagi menggentar perasaan dan menggetar naluri anda yang menghayatinya. Ikutilah epik thriller ini…
Rising Star 2013 Teljes Film Magyarul Hu 720p
3 years ago
0 coretan ikhlas:
Post a Comment