Pages

11 April 2009

Assigment yg telah aku buat bersama rakan2

Wanita & Perkahwinan.. Lelaki Muda VS Lelaki Tua

KATEGORI WANITA YANG TERLIBAT DENGAN PERKAHWINAN JARAK USIA.

Wanita Korporat atau Berpendidikan Tinggi.

Malaysia adalah antara negara yang kini melalui perubahan sosio-ekonomi dan budaya yang ketara berikutan semakin ramai rakyat wanitanya yang dalam peringkat umur layak berkahwin, memilih untuk mengejar ilmu dan memantapkan kerjaya dan kedudukan ekonomi masing-masing daripada memulakan keluarga sendiri.

Kajian Mengenai Penduduk dan Keluarga Kebangsaan terakhir yang dibuat dua tahun lalu jelas menunjukkan peningkatan fenomena kahwin lewat di kalangan wanita berpendidikan tinggi Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Aminah Abdul Rahman berkata, fenomena itu juga telah memaksa semakin ramai wanita berpelajaran tinggi berkahwin dengan lelaki yang bukan sahaja lebih muda daripada mereka, tetapi juga mempunyai tahap pendidikan dan kedudukan ekonomi lebih rendah. Beliau berkata, apa yang dimaksudkan lebih usia ialah jarak usia antara lelaki dan wanita itu melebihi daripada tujuh tahun ke atas daripada pasangan.

Merujuk kepada kertas kerja yang bertajuk 'Perkahwinan dan Pembentukan Keluarga di Malaysia' oleh Profesor Madya Tey Nai Peng dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya yang dibentangkan pada Seminar Kebangsaan bertemakan "Membina Generasi Masa Depan" baru-baru ini, Aminah berkata: "Trend wanita berpendidikan tinggi berkahwin lelaki muda yang yang statusnya lebih rendah daripada mereka itu ketara dalam kalangan mereka yang berkahwin selepas melepasi umur 30 tahun." Keadaan ini, katanya, berlaku kerana wanita dalam golongan itu sukar mencari pasangan yang setanding dengan mereka dari segi umur, pendidikan dan status ekonomi kerana kebanyakan lelaki yang memenuhi kriteria itu telahpun berkahwin. Biasa kita dengar doktor berkahwin dengan mat despatch, pengarah eksekutif berkahwin dengan kerani, dan sebagainya. Hal ini berlaku mungkin disebabkan tiada pilihan kerana rata-rata lelaki yang setaraf dengan mereka telah berkahwin. Jadi, mereka hanya mengambil jalan mudah agar tidak digelar andartu oleh masyarakat dengan berkahwin dengan mana-mana lelaki agar stigma masyarakat dapat diubah. 


Wanita Yang Terlibat Dengan Dunia Hiburan/ Selebriti


Kategori yang kedua wanita yang banyak terlibat dengan perkahwinan jarak usia ialah golongan artis ataupun selebriti. Boleh dikatakan trend zaman sekarang iaitu golongan artis wanita berkahwin dengan pasangan yang jarak usia tidak kiralah lebih tua ataupun lebih muda. Buktinya dapat dilihat dalam kajian kami yang menemukan lima artis wanita dan seorang selebriti yang bertemu jodoh dengan pasangan yang lebih muda.

Buktinya, menduduki senarai teratas trend artis berkahwin dengan ‘pucuk muda’ ialah pelakon, Rosnah Mat Aris, 54, yang memilih lelaki bujang, Tajul Efendie Isa, 28. Perbezaan umur di antara mereka ialah 26 tahun. Kemudian diikuti Khalidah Adibah Ahmad, 52, atau nama komersialnya, Aida Radzwil yang berkahwin dengan Joe Radzwill, 39, pada 2002 (beza 13 tahun). Mereka disusuli pelakon jelita, Rita Rudaini Mokhtar, 33, dan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 22, (beza 11 tahun) melalui perkahwinan mereka yang mencetus kontroversi hujung tahun lalu. Seterusnya, penyanyi dangdut, Rashidah Hamid atau lebih dikenali sebagai Sheeda, 40-an dan guru, Shukri Hashim 30-an (beza 10 tahun) serta personaliti TV3, Azizah Ariffin, 40, dan Eksekutif Pemasaran di Jabatan Pemasaran TV3, Mohd Khafairil Mohd Khalil 30, (beza 10 tahun). Pasangan terbaru yang memasuki senarai ialah pelakon Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau Que Haidar, 30, dan koreografer popular, Linda Jasmine Hashim, 37 (beza tujuh tahun), yang selamat mendirikan rumah tangga baru-baru ini.


Menurut mereka ini, perkahwinan mereka adalah berdasarkan jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t . Pada awalnya, mereka tidak menyangka jodoh mereka adalah dengan lelaki yang lebih muda, tetapi cinta tidak mengenal usia. Rata-rata mereka ini menjadikan cinta sebagai faktor utama hubungan mereka terjalin. Mereka juga menyangkal kononya lelaki muda tidak matang kerana berdasarkan pengalaman mereka, setelah bergelar suami, mereka tahu menunaikan tanggungjawab masing-masing dan bertindak sebagai ‘kepala’ keluarga walaupun usia pasangan mereka muda. Bagi aktres, Aida Radzwill , hidup dengan berlandaskan hukum agama menjadi pegangannya dalam melayari kehidupan berumah tangga. “Kahwin lelaki muda, sama usia atau lebih tua, cabarannya tetap sama. Kita perlu jujur dengan diri sendiri dan berpegang kepada ajaran Islam,” katanya yang meniti kehidupan bahagia bersama Joe kira-kira tujuh tahun. Tambahnya lagi, “Walaupun dia lebih muda, sikapnya matang. Dia boleh mendengar kata-kata saya dan kami sentiasa berbincang. Segala keputusan dalam sesuatu perkara, kami lakukan bersama,”. 


Selain daripada berkahwin dengan lelaki muda, golongan artis dan selebriti ini juga cenderung untuk memilih lelaki yang berusia. Antaranya ialah bekas pengacara Nona TV3 iaitu Norjuma Habib Mohamed dan Norazlina Redzuan serta bekas pembaca berita TV3 iaitu Azrinaz Mazhar Hakim. Norjuma yang kini dikenali sebagai Datin Norjuma Habib Mohamed bertemu jodoh dengan pasangannya iaitu Datuk Mohamd Nazim Tun Abdul Razak ketika masing-masing berusia 25 tahun dan 43 tahun dengan beza jarak usia sebanyak 18 tahun. Norazlina Redzuan pula yang juga kini berpangkat Datin Norazlina menjadi pasangan hidup kepada Datuk Yusof Annuar Yaacob iaitu Ceo Tm International dan selebriti yang paling menjadi perhatian apabila bekas pembaca berita TV3 iaitu Azrinaz Mokhtar yang bertemu jodoh dengan lelaki terkaya di dunia pada waktu itu dengan anggaran asetnya mencecah AS$40 bilion (RM148 bilion) pada 1997 iaitu Sultan Hasanah Bolkiah, Sultan Brunei. Ketika berkahwin berumur 28 tahun manakala Sultan Bolkiah pula berumur 58 tahun dengan beza jarak usia sebanyak 30 tahun. Azrinaz kini mendapat gelaran Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar.
 Perkahwinan jarak usia golongan artis dan selebriti menjadi topik dalam golongan masyarakat berbanding kategori lain kerana masyarakat mengganggap artis atau selebriti ini mengambil kesempatan di atas ke’popular’an mereka untuk mendampingi orang kelas atasan (VVIP) ataupun korporat demi menjamin hidup . Perkahwinan selebriti lebih mencuri tumpuan berikutan status mereka Ada juga yang mengatakan cara itu membolehkan mereka menyertai golongan elit dan kelas tertentu.Kesenangan dimiliki dan kehidupan mewah yang dinikmati daripada perkahwinan itu bagaikan mempengaruhi wanita muda hari ini untuk turut menagih cinta lelaki berusia yang kaya raya. Bagi artis wanita yang berkahwin dengan lelaki muda pula dianggap kerana mahu mencari teman hidup setelah lama bersendirian. Rata-rata artis yang terlibat dengan perkahwinan dengan lelaki muda adalah janda.


Golongan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT)

Untuk kategori pelajar, golongan ini lebih cenderung untuk memilih pasangan yang lebih tua berbanding dengan pasangan sebaya atau lebih muda. Hal ini mungkin disebabkan oleh faktor pemikiran (yang dikatakan lelaki berusia lebih matang ) dan juga ekonomi kerana golongan pelajar boleh dikategorikan sebagai golongan yang masih muda yang mana mereka masih lagi terlibat dalam bidang pembelajaran dan masih lagi goyah dari segi ekonomi serta hala tuju hidup. Sebab itulah, golongan ini dikatakan lebih cenderung kepada pasangan yang lebih tua.
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini bagaikan menjadi satu aliran di kalangan gadis muda di negara ini memilih jejaka kaya yang berusia sebagai teman hidup. Jika jarak umur itu lima hingga 10 tahun mungkin tidak mengapa, tetapi sekiranya lelaki berkenaan layak dipanggil bapa berikutan perbezaan umur yang begitu ketara, tentu mengundang tohmahan.
 Satu kajian yang dijalankan mendapati 65 peratus (65%) gadis muda hari ini sanggup memilih lelaki berusia yang berharta pada peringkat umur 40 hingga 50 tahun sebagai calon suami, manakala 12 peratus (12 %) lagi menyatakan kesediaan untuk mengahwini lelaki sebegitu pada lingkungan umur antara 51 hingga 60 tahun. Kajian itu dilakukan Pensyarah Kanan Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Dr Rusinah Siron dan Sabariah Siron pada 2006 dalam kalangan pelajar wanita institusi pengajian tinggi (IPT) berusia antara 21 hingga 28 tahun seolah-olah mengesahkan senario berkenaan. Dr Rusinah berkata, hasil kajian mengejutkan itu mendapati kebanyakan responden memberikan alasan seperti latar belakang hidup yang susah, jadi mereka mahukan seseorang yang boleh digantung harap dari segi ekonomi khususnya dan selain daripada inginkan jaminan masa depan sehingga mendorong kebanyakan gadis muda hari ini untuk memilih suami yang berharta, walaupun perbezaan umur begitu ketara. Kebanyakan responden mengakui masa depan dan hala tuju kerjaya wanita tidak dapat diteka, oleh itu mereka lebih cenderung untuk mencari jalan yang selamat dengan memilih pasangan yang lebih kukuh dan dari segi ekonomi demi menjamin keselamatan hidup untuk jangka masa yang panjang . Responden berpendapat dengan mengahwini lelaki yang berharta walaupun sudah berusia memberi peluang kepada mereka untuk menikmati hidupyang lebih selesa tanpa perlu bekerja keras. 
 Kajian bertajuk ‘Pemilihan Lelaki Berusia dan Berharta Sebagai Pasangan Hidup - Kenyataan atau Kebetulan’ itu dijalankan ke atas 350 pelajar wanita universiti swasta dan 700 pelajar di dua universiti awam terpilih bermula Januari hingga Mac tahun lalu.Responden yang berusia antara 21 tahun hingga 28 tahun adalah daripada pelbagai program pengajian dan objektif kajian berkenaan dijalankan bagi melihat perspektif dan fokus pemikiran golongan wanita muda terpelajar dalam mencari pasangan hidup. Selain itu, hasil kajian itu juga menunjukkan 70 peratus (70%) responden percaya pemilihan lelaki berusia dan berharta sebagai suami akan mengubah gaya hidup dan cita rasa mereka terhadap kehidupan. Jika selama ini si dara lebih cenderung terhadap muzik moden dan rancak seperti hip hop, pop dan rock, perkahwinan berkenaan mungkin akan membuatkan mereka terpaksa bertukar selera kepada muzik kegemaran suami, khususnya klasik


 Namun begitu, Rusinah berkata, kecenderungan gadis muda dan pelajar dalam memilih calon suami berusia itu bukan sekadar mengimpikan kemewahan, sebaliknya lelaki tua dikatakan lebih memahami dan mampu menjadi pemimpin keluarga yang baik. Lelaki berusia dikatakan lebih romantis, sensitif, sabar layan kehendak isteri serta mempunyai banyak pengalaman untuk dikongsi. Golongan ini berpendapat berbanding lelaki muda, lelaki berusia dikatakan tidak membosankan. Mereka tidak lokek berbelanja dan suka berjenaka serta mempunyai banyak cerita melucukan untuk dijadikan bahan perbualan. Berdasarkan kepada kajian yang dijalankan ini, boleh dikatakan hampir 70 peratus (70%) golongan pelajar bersedia untuk mencari pasangan yang lebih berusia demi menjamin kehidupan untuk jangka masa panjang.

Konklusinya, walau siapa pun pilihan wanita, tidak kira lelaki muda atau tua yang paling utama untuk difikirkan ialah setiap keputusan diambil dalam aspek memilih jodoh perlulah lahir daripada perasaan yang jujur dan ikhlas tanpa paksaan atau dorongan yang dikaburi dengan kebendaan, sekali gus tidak timbul prasangka terhadap pasangan kelak kerana kebahagiaan bukan terletak pada kebendaan semata-mata, tetapi cara kita melihat kehidupan itu sendiri. Namun begitu, jika dilihat dalam perspektif Islam, agama menggalakkan kita untuk mencari pasangan yang sekufu atau ‘kafaah’ yang didefinisikan oleh para ulama sebagai `al musawah wal muqarab' atau yang bermaksud persamaan atau hampir. Persamaan ini ditekankan dalam Islam kerana Islam melihat isu persamaan sebagai isu yang global. Hal ini kerana sebaiknya kedua-duanya haruslah setaraf dalam banyak hal supaya rumah tangga yang akan diharungi lebih mudah dilayari. Kesesuaian atau sefahaman dalam memilih suami mahupun isteri, merupakan asas dalam membina keluarga Muslim. Kesesuaian bukan sahaja dinilai dari aspek kedudukan, harta kekayaan dan pendidikan akan tetapi kesamaan atau sefahaman dalam agama turut diambil kira di dalam Islam. Jadi apabila Islam menggalakkan sekufu, ini bermakna Islam melihat lebih jauh lagi mengenai peranan sesuatu keluarga itu. Ini kerana perbezaan yang terlalu banyak dan ketara antara pasangan suami dengan isteri dalam pelbagai perkara, hanya akan menimbulkan berbagai-bagai masalah untuk meneruskan kehidupan berkeluarga yang akan dibina kelak.


1 coretan ikhlas:

F.Aminurrashidd said...

kak betul kerr?? doctor kahwen dengan despatch neyy?? ada ek?

Labels